Thursday, September 9, 2010

Aidil Fitri Bagi Seorang Pejuang

Bismillah...

Sekali lagi Aidil Fitri datang membawa saat gembira dan suka bagi umat Islam. Datangnya sebagai lambang kejayaan bagi umat Islam kerana berjaya mengharungi sebulan Ramadhan dengan berlapar dahaga di siang hari dan beribadah sebanyak mungkin pada malamnya. Sabda Rasulullah saw: rugilah bagi sesiapa yang telah merugikan (Ramadhan), dan untunglah bagi sesiapa yang berjaya (memanfaatkan Ramadhan). Ibadah berpuasa juga secara tidak langsung membawa mesej kepada dunia; umat Islam akhir zaman masih lagi berpegang teguh dengan perintah Allah swt dengan kemampuan mereka melaksanakannya dalam suasana Islam ditindas di seluruh pelusuk alam. Masih wujud kelompok (thoifah) yang memenangkan kebenaran dan mereka akan selamanya muncul sehingga hari Kiamat. Sinar Islam pasti kembali suatu hari nanti.

Hadis “Akan senantiasa ada di antara umatku suatu kelompok yang tampil membela kebenaran, tidak membahayakan mereka orang yang menghina (tidak menolong) mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka tetap dalam keadaan demikian.” (HR. Muslim)

Hari raya juga merupakan hari umat Islam mempamerkan kekuatan persaudaraan Islam yang terjalin erat dengan simpulan aqidah. Ibadah solat sunat Aidil Fitri disunatkan untuk didirikan di tanah lapang supaya semangat kebersamaan itu lebih dirasai.Umpama satu perarakan ketenteraan yang perkasa dan tersusun. Laungan takbir beramai-ramai dengan suara yang nyaring merupakan simbolik seolah-olah kita sedang meraikan kemenangan yang agung dan suci. Marilah kita hayati erti takbir dan maani yang terkandung di dalamnya. Kita membenarkan dengan iman yang mendalam bahawa Allah Maha Besar. Allah adalah matlamat akhir setiap Muslim. Kita juga menyaksikan risalah Tauhid adalah misi besar setiap Muslim dalam kehidupannya. Kita mahu menuju ‘ubudiyyah total kepada Allah swt dalam segenap aspek meliputi ‘aqidah, ibadah, akhlak dan agenda perjuangan. Keikhlasan dan tajarrud sebagai dua syarat utama yang seharusnya kita semua penuhi jika mendaulatkan Islam sebagai tunjang perjuangan.

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (An-Nahl:36)

Kita yakin dan mengimani Allah swt akan membenarkan janjinya kepada para hambaNya yang soleh dan beriman serta berjuang. Sejarah perang Ahzab akan berulang semula. Tentera muslimin yang diketuai oleh Rasulullah saw menghadapi gabungan raksasa tentera dunia; hampir-hampir mustahil untuk menang. Namun, akhirnya kemenangan daripada Allah swt datang selepas para muslimin bersatu di atas dasar aqidah dan diperkukuhkan dengan benteng ukhuwah Islamiah. Mereka memahami wala’ hanya untuk Allah, Rasulnya dan semua muslimin. Tiada tentera atas muka bumi yang mampu mengalahkan pasukan pejuang yang menjadikan Rasulullah sebagai Ketua dan Qudwah.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-ahzab:21)

Semua maani-maani yang hebat ini diulang-ulang oleh semua umat Islam mulai malam Raya hingga saat Imam mengetuai solat sunat Aidil Fitri. Persoalan yang perlu kita fikirkan; adakah kita menghayatinya dan beramal di atas laungan takbir tersebut? Sesungguhnya lafaz tersebut menggerunkan hati musuh Islam dan menggegarkan setiap satu kuasa taghut yang masih berdiri di atas bumi Allah.

Kenapa kandungan takbir raya seperti ini? Jawapannya, ingin mengingatkan semua umat Islam bahawa kejayaan berjihad melawan hawa nafsu hanya sebagai salah satu tangga-tangga dalam kamus Jihad yang luas.Ia sebagai pemula yang seharusnya dikekalkan dan disusuli dengan jihad-jihad yang lain. Ini juga memberikan satu kefahaman yang jelas bahawa kemenangan hakiki adalah pada harinya kita meraikan detik Islam menguasai dan memegang tampuk pemerintahan dunia. Itulah Hari Raya yang kita tunggu saat kedatangannya dengan amal dan usaha yang berterusan dan kesabaran para ulul ‘azmi dari kalangan rasul-rasul.

Ini dia agenda kita bersama. Tapi; bagaimana semuanya bermula? Ia bermula dengan kita mengembalikan jati diri Islam yang semakin hilang dalam peribadi bangsa Melayu beragama Islam di tanah air kita. Jatidiri muslim sejati yang sejahtera aqidah dan kuat ibadah. Kita mahukan muslim yang bertubuh kuat dan mampu melawan hawa nafsunya. Juga seorang yang menjaga waktu, menyusun urusan kehidupan harian dengan sistematik. Kita juga mahu membina kehendak kendiri yang kuat serta mampu berdikari dan mereka akan memberi manfaat kepada bangsa, negara dan Islam. Ayuh; sahanat - sahabat kita menyediakan persiapan yang lengkap untuk berkhidmat khususnya untuk umat di Malaysia. Utamakan agenda bangsa dan agama daripada agenda peribadi nafsu yang inginkan kuasa semata-mata.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin

Melayu Sepakat, Islam Berdaulat