Tuesday, July 12, 2011

Persediaan Ramadhan


Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda diberikan satu tempoh masa untuk melakukan sesuatu dan setelah tempoh itu habis, maka anda dilarang dari melakukan perkara tersebut? Sekiranya perkara ini terjadi, maka apakah tindakan yang akan anda lakukan?

Sebagai contoh, anda diberi masa sebulan untuk menyiapkan sebuah kereta untuk satu perlumbaan. Setelah tempoh sebulan berlalu, anda tidak dibenarkan lagi melakukan apa-apa. Sudah tentu anda akan menggunakan masa sebulan itu dengan sebaik mungkin untuk menyediakan kereta yang terbaik. Tayar terbaik digunakan, minyak mencukupi dan berkualiti, badan kereta yang sesuai untuk berlumba dan bermacam-macam lagi yang anda lakukan.

Berdasarkan tajuk kali ini, pernahkah anda terfikir bahawa syaitan juga akan menggunakan masa dan peluang yang ada dengan semaksima dan sebaik mungkin untuk persiapan melalui bulan Ramadan?

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Daripada Rasulullah SAW:

“Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan” (riwayat Bukhari)

Berdasarkan mafhum hadis ini, ketahuilah kita bahawa syaitan akan dibelenggu pada bulan Ramadan. Jadi sudah tentu syaitan akan menghasut, mengerahkan segala usaha, menggunakan segala tipu daya agar segala janji syaitan untuk menyesatkan manusia terlaksana walau dalam keadaan mereka dibelenggu di bulan Ramadan.

Nafsu manusia akan dilatih, disuap, dibelai dihidangkan dengan keseronokan dan keasyikan agar di bulan Ramadan nanti, ia akan menjadi raja yang memerintah manusia. Itulah yang sering terjadi. Walau di bulan Ramadan, masih ada kerosakan dan maksiat yang dilakukan manusia.

Dengan itu, ketahuilah kita bahawa masa atau fasa sebelum masuknya bulan Ramadan adalah fasa dan waktu yang sangat kritikal. Ia akan menentukan keberjayaan dan prestasi kita pada bulan Ramadan tersebut.

Sebagaimana nabi kita Muhammad SAW mendidik kita dengan doa seperti yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Rasulullah SAW, apabila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan – riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani.

Begitulah antara isyarat-isyarat yang baginda tunjukkan kepada kita. Pentingnya keberkatan dari Allah serta perlindungan dan rahmat-Nya pada fasa dan waktu sebelum kita memasuki bulan Ramadan.

Jadi,bagaimanakah caranya untuk kita persiapkan diri kita dalam tempoh waktu yang kritikal ini? Apakah yang perlu kita lakukan?

Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan antaranya:

  1. Seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW hendaklah kita selalu berdoa “Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Kerana hanya dengan hidayah dan kasih sayang Allah sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari nafsu dan syaitan.
  2. Bertaubat yang benar. Agar hati kita bersih dari belenggu dosa dan nafsu yang menyesatkan. Mudah bagi kita untuk melawan nafsu. Agar di bulan Ramadan, kita seperti kain putih yang ingin dicorakkan dengan tarbiyyah Allah SWT.
  3. Perbanyakkan puasa sunat kerana ia mampu mendidik dan melatih nafsu kita. Mengawal diri kita dari keinginan yang merosakkan. Puasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, puasa Isnin dan Khamis. Jika ada puasa yang perlu diganti, maka bersegeralah menggantikannya.
  4. Perbanyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Agar waktu-waktu terluang kita diisi dengan beribadah kepada Allah. Kerana jika tidak, sudah tentu kita akan mengisinya dengan perkara yang sia-sia dan maksiat.
  5. Menghidupkan suasana di rumah dan di tempat-tempat yang selalu kita ada seperti di tempat kerja dan juga di dalam kenderaan. Kita boleh menampal poster atau kad berkaitan Ramadan,memasang lagu Ramadan, menghantar SMS dan kad ucapan Ramadan, menanda kalendar agar kita sentiasa sedar akan kedatangan Ramadan dan bersedia untuk menyambutnya.
  6. Muhasabah diri. Sekiranya dalam tempoh waktu yang kritikal ini kita masih lagi leka dan alpa dengan perkara kemaksiatan dan perkara yang sia-sia seperti melihat perkara yang haram, melayan movie yang tidak elok, bermain game 24 jam, mencarut, membuang masa, meringan-ringankan sembahyang, maka ketika itu haruslah kita berhenti dan berazam meninggalkannya sebelum kita terlewat. Kerana apabila kita sudah biasa melakukannya, maka kita akan terbiasa melakukannya walau ketika bulan Ramadan.
  7. Melatih diri dari sekarang dengan bersedekah, qiamullail, berzikir, puasa sunat, membaca quran, melawan perasaan malas.
  8. Merancang Ramadan anda. Kalau boleh sediakan borang atau senarai perkara-perkara yang perlu dan ingin dicapai di bulan Ramadan. Seperti sasaran berapa kali hendak khatam, solat fardhu jemaah di masjid, qiamullail, sedekah dan lain-lain.

Itulah serba sedikit perkongsian persediaan-persediaan yang lebih utama kita lakukan dalam tempoh kritikal sebelum kita menyambut Ramadhan.

Rugilah bagi sesiapa yang melalui Ramadhan dan Allah tidak mengampunkan dosanya.

Wednesday, April 13, 2011

Cinta Oh Cinta !


Bismillah













Pantun orang Melayu zaman dahulu:

Nasi lemak buah bidara
daun selasih saya lurutkan
buang emak buang saudara
kerana kasih saya turutkan

Kalau roboh kota Melaka
papan di Jawa saya sorongkan
kalau sungguh bagai dikata
jiwa dan raga saya serahkan

Orang muda kita pula berkata:

‘cinta itu buta’
‘cinta tak boleh dijual beli’
‘cinta medic’
‘sms On Cinta’
‘engkau bagai air yang jernih di dalam bekas yang berdebu’
‘dua hati jadi satu bila kita bertemu’
‘bulan madu di awan biru tiada yang mengganggu’
‘aku memang pencinta wanita tapi ku bukan buaya’

gila-gila cinta
harganya mahal
nak beli tidak daya
tapi ia datang percuma
dengan sepenuh jiwa dan raga
meredah, melanggar sesiapa sahaja yang menghalangnya
kerana ia tidak bermata
emak sendiri pun sanggup dibuang demi kesetiaan pada si dia
mata sepet tidak mengapa
hidung kembang alangkah lawanya
sudah bersatu dunia kita
susah senang kita berdua
dunia akhirat kita bersama

wah …. wah …. wah

Datang zaman kebangkitan Islam. Arus dakwah terkena kepada sesiapa sahaja samada orang ini memang nak berdakwah atau orang ini adalah sasaran dakwah. Berubah nilai dan neraca. Yang dahulunya jahiliah bertukar jadi Islamik dengan sedikit ‘dakwahisasi’. Orang muda sekarang cerdik sungguh…. Pandai ‘adjust-adjust’. Pandai‘modify’. Mereka ni mungkin tak pernah lagi berjaya mengislamkan orang bukan Islam,tapi mengislamkan unsur-unsur jahiliah ni cekap bukan main. Bukankah Adam dulu juga bercinta dengan Hawa? Bukankah Nabi Sulaiman juga bercinta dengan Ratu Balqis? Bukankah qudwah cinta sejati itu pada Ali dan Fatimah? Ni semua akibat baca silibus usrah tak betullah ni.

Lalu da’ie zaman moden pun bercintalah juga. Tapi mereka bercinta tidak sama macam orang lain tahu. Sempadannya batasan syarak. Main-main perasaan sahaja, tidak lebih dari itu. Takut Allah murka, tak berkat dakwah nanti.

kau tahu ku mencintaimu
ku tahu kau mencintaiku
ooohhhh kasih
bersabarlah sayang
saat indah kan menjelma jua

tapi …….

‘sebelum diijabkabulkan syariat tetap membataskan’

Temu janji bukan di panggung wayang. Bukan kat Dataran Merdeka. Bukan kat Hard Rock Cafe. Ni da’ie ni ….. Tempat-tempat lagho macam tu tak mainlah ….

alangkah riangnya hatiku
luahan rasaku mendapat perhatian
ku terima balasan darimu
kau jua menyimpan perasaan

warkahmu memberi kepastian
agar kejayaan menentu pertemuan
setiap kali di akhir katamu
kau selalu tulis
SEE YOU DI ICV
…eeh silap IPT (sorry orang Victoria)

Mereka ada fikrah Islamiah …. fikrah asolah lagi. Sebab tu bila bercinta mereka ni setia dan sanggup berkorban segala-galanya. Maklumlah … cinta mereka ni lahir dari tasawwur yang jelas dan fikrah Islamiah yang tulen.

cinta itu cahaya sanubari
kurniaan Tuhan fitrah insani
dan di mana terciptanya cinta
di situ rindu bermula

cinta itu tidak pernah meminta
tetapi memberi sepenuh rela
rasa bahagia biar pun sengsara
berkorban segala-gala

Samar …. Buka Lampu Sikit

Sikit membebel ni bukan kerana apa. Kerana sayang dan harapan yang kami berikan kepada pendakwah-pendakwah muda. Harap-harap jangan tertipu dengan perkara-perkara seumpama ini.

Cinta sememangnya fitrah manusia. Jalan terbaik untuk menyalurkan fitrah adalah pada perkahwinan. Penegasan diberikan oleh Rasulullah s.a.w.: “Tetapi aku berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku, dia bukan dari kalangan umatku.”









Jaga pandangan mata. Jaga pergaulan. Kita ada batas pergaulan kita sendiri.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua mata juga berzina dan zina mata adalah pandangan.”Sabdanya lagi: “Tidak halal bagi seseorang bersunyi-sunyian dengan seseorang yang bukan muhrim.”

Itu semua adalah perisai untuk tidak terjebak ke dalam isu-isu cinta yang tidak syar’ie. Jangan suka sangat chating dengan orang yang kita sendiri pun sebenarnya tak tahu mana datangnya. Buang masa satu hal. Letih melayan perasaan satu hal lagi. Letih nak ‘mengayat’ satu hal lagi.

Jangan juga ambil kesempatan untuk buat ‘marketing’ dalam aktiviti-aktiviti bersama lelaki perempuan. Kalau aktiviti sesama lelaki, pakai kain pelekat dengan t-shirt pun tak pe. Busuk sikit, tu bukti kita kuat buat dakwah sampai tak sempat nak mandi. Kalau aktiviti bersama, siap mandi dan sental seluruh badan. Seterika baju, pilih baju, pakai stokin, kiwi kasut, pakai gel rambut dan pastikan ‘gaya thiqah’.

Dr. Yusof al-Qardhawi berkata: “Cinta akan mencari manusia. Tetapi manusia jangan mencari cinta.” Jangan ikut sangatlah kawan-kawan kita yang letak kesempurnaan seorang lelaki dan wanita adalah pada ‘bercouple-couple’. Jangan letak target untuk mencintai seseorang. Tapi kalau tiba-tiba jatuh hati kat seseorang, bagitahulah abang-abang dan kakak-kakak kita. Cuba ‘story’ sikit perasaan kita tu baik-baik. Kalau masih belum berpunya, apa salahnya, kami boleh tolong pinangkan. Itu kalau sekufu’lah. Kan ke kita faham maksud sekufu’ tu? Maksudnya kita cari orang-orang yang sama-sama nakkan cara hidup Islam, bina keluarga Islam dan menyumbang pada umat.

Kalau ada ‘awek’ lama atau ‘balak’ lama (pinjam istilah orang muda), ingat balik matlamat hidup kita. Nafsu tu sekejap je boleh dipuaskan. Tapi keharmoniaan dan kebahagiaan bukan senang nak cari. Jangan merungut kalau nanti susah nak ikut aktiviti dakwah dan sumbangan juga jadi terbatas. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sedih putus cinta dengan awek lama tu sekejap je boleh hilang. Menanggung derita hidup bersama awek lama yang dah jadi isteri tu bukan senang.

Kalau emak ayah dah carikan, ukur dan nilai balik calon tu berdasarkan neraca Islam yang kita faham. Kalau kena neraca tu, tawakkal alaAllah. Kalau tak kena, sembang baik-baik dengan emak ayah. Mereka boleh faham tu. Jangan risaulah. Tak da istilah ‘saya terperangkap oleh perancangan emak dan ayah saya’. Emak ayah kita tak buat konspirasi macam tu. Ada la kot sikit-sikit kes terpencil macam tu, tapi dalam banyak kes sebenarnya boleh bincang lagi. Takut kita je sebenarnya yang ‘terpesona’ dengan calon emak ayah kita lalu kita pun ‘terperangkap’. Lalu yang mekap tebal seinci, skirt pendek, suka duduk depan tv, tak suka dengar Ikim.FM dan yang seumpamanya kita setuju untuk hidup bersama kita selama-lamanya … mengharungi alam dakwah bersama-sama … dunia akhirat bersama. Macam pelik je bunyinya tu.

Kalau dah ada calon, dah setuju pada peringkat keluarga dan dah bertunanglah dengan istilah mudahnya, jaga batas-batas perhubungan. E-mail, sms, chat dan lain-lain teknologi hari ini jangan disalahguna. Ada masa boleh, ada masa tidak boleh. Ikut keperluan dan jaga batas-batasnya.

Memanglah pendakwah muda ni kalau tulis email dan berchating, dia tak tulis macam orang lain. Jiwang-jiwang tak mainlah. Mereka ni baca kitab Muntalaq. Kami adalah anak-anak singa dan bukannya kijang yang jinak. Amboiii. Tapi kadang tu kita tak perasan, jiwang tidak datang dalam satu bentuk sahaja. Jahiliah berubah bentuk. Maka begitulah juga dengan jiwang. Dulu ‘I love you’. Sekarang ‘bersamalah kita memburu cinta Allah’. Dulu ‘demimu sayang lautan sanggup ku redah’. Sekarang ‘moga-moga kita dapat bersama-sama thabat mengharungi dakwah ini’.

Ini adalah sikit nasihat. Harapnya tidak ada yang berasa hati. Moga kita dapat menjaga diri kita lebih dari kita menjaga diri orang lain.