Monday, June 21, 2010

Jangan Promosi Dosa Dalam Facebook & Blog

Bismillah...

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Di ketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.

Bilakah itu?

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, drama TV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita rancangan TV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

* ketika sedang minum arak,
* hadiri parti penuh maksiat,
* hadiri majlis dosa,
* sedang berpelukan lelaki wanita
* atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
* dan sebagainya,

Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-

كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقد ستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عليه

Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahakn ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, ata melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya' dan sum'ah.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah senyap dan sembunyikan. Ia bukan hipokrit ! tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Di dalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول : أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأى في نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم

Ertinya : Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar akan dosa ini? Lalu jawab lelaki itu Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebegainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Sunday, June 20, 2010

Apabila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung




Salam buat sekalian teman.

Satu topik yang klise. Di mana sahaja kita berada, tanpa mengira batasan waktu dan tempat, kita akan berhadapan dengannya. Ini soal jiwa. Soal hati. Soal nafsu. Juga soal iman. Ramai yang menganggap ini adalah satu isu terbesar dalam hidupnya. Kudrat, keringat, dan pemikiran langsung ditumpukan padanya.

Apabila berbicara tentang cinta, anak-anak muda pasti tersenyum nakal. Senyum yang menyimpan seribu satu maksud dan erti. Suka bukan kepalang. Sebelum kita merumus lebih jauh topik ini, ada beberapa lontaran persoalan yang wajar kita renungi dan jawab terlebih dahulu.Salahkah bercinta? Untuk apa bercinta? kalau cinta tapi tak pegang tangan bolehkan? Bukankah cinta itu fitrah naluri manusia, maka jika tak bercinta,maka kita tak menyempurnakan hak-hak fitrah kita, bukan begitu?

Demikian beberapa contoh soalan yang biasa penulis hadapi tatkala berbicara tentang isu ini, bersama rakan dan taulan. Bagi penulis, isu ini dapat dirumus dengan mudah. Tidak perlu dipanjang-panjangkan. Pertama, mari kita kenali dan dalami fitrah kejadian kita, manusia. dari aspek sejarahnya. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada tolok bandingnya, Adam diciptakan . Manusia pertama. Dan untuk melengkapinya, Hawa sebagai pasangan dihadirkan. Bisa sahaja Allah menciptakan Adam itu bersendirian selamanya. Namun Allah ingin menunjukkan satu sunnah terbesar alam, setiap perkara memang ada pasangannya. Lelaki dan perempuan, positif dan negatif, timur dan barat, kiri dan kanan. Yang mana kewujudan unsur lain itu berperanan sebagai melengkapi. Ini fakta.

Dari segi sifat manusia pula, kita memang dilengkapi dengan rasa kasih sayang. Dan rasa ini memang ciri-cirinya mahu dicurahkan kepada pihak lain. Cuma persoalannya, kepada siapa selayaknya kasih-sayang ini diberikan? Teman wanita yang indah paras rupanya? Jejaka yang tampan lagi menggugah rasa? Rakan perempuan yang baru setahun dua berkenalan? Teman chatting room yang tidak pernah bersua muka? Sahabat yang setia dalam perjuangan? Ibu bapa yang membesarkan diri ini? Atau Pemilik kepada segalanya? Kita perlu ada panduan dalam hal ini. Telah Allah berfirman dalam kitabNya yang suci, lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik, dan begitulah sebaiknya. Ayuh nilai diri kita.

Seterusnya, mari kita lihat aspek matlamat. Untuk apa percintaan antara lelaki dan perempuan yang memang jelas tiada sebarang ikatan yang sah dari aspek syar'ie? kemana perlu dibawa cinta itu? apa yang mendorongnya? Nafsu. Semudah itu jawapannya. Tiada sebab lain kemungkaran itu berlaku melainkan dengan nafsu. Dan begitulah dalam hal ini. Barat telah menyempitkan skop cinta ini. Melalui senjata-senjatanya, filem, internet dan sebagainya, cinta itu perlu berakhir di bilik-bilik, beralaskan tilam dan katil. Mereka membawa pemikiran kita tentang hakikat cinta ini kepada satu tahap yang cukup hina. Hanya untuk menyempurnakan tuntutan syahwat manusia semata-mata. Jika begini pertimbangan kita, tiada bezanya kita yang berakal ini dengan haiwan yang bertindak berpandukan nafsu dan naluri. Perlu kita ingat, dengan cintalah manusia Allah jadikan, dengan cinta kepada Allah, Ibrahim sanggup menyembelih anaknya, dengan cinta juga, Ali sanggup berbaring di tempat tidur nabi sewaktu hijrah, dan kerana cinta, Muhajirin dan Ansor dipersaudarakan. Cukup tinggi nilai dan erti cinta ini di sisi Islam. Bagi yang selainnya, kehinaan semata.

Begitulah bagi penulis, berdasarkan ilmu yang tidak seberapa dan semoga Allah memberkatinya, isu ini tertegak atas tiga paksi yang telah disebutkan tadi. Sejarah penciptaan manusia wujud kerana cinta Allah kepada hambanya. Cinta dan berpasangan memang fitrah manusia. Dan cinta itu perlu memiliki matlamat dan sebab kenapa ia mengambil tempat. Buka hati dan jiwa kita sebentar, untuk membaca senario sekeliling. Lebih 17000 anak seluruh negara telah didaftarkan sebagai tiada status sah. Dalam erti kata lain, anak luar nikah. Hasil zina. Statistik menunjukkan, kawasan yang padat dengan penduduk menjuarai carta ini. Lembah Kelang, dan Wilayah Persekutuan adalah yang dimaksudkan. Bangsa yang mengunggulinya? Bangsa penulis dan sekalian pembaca tentunya. Melayu kita. Belum lagi hal kehamilan bawah umur, dan kehamilan tegar. Iaitu hamil berulang kali dan sebabnya sama sahaja. Zina.Inikah buah-buah cinta yang kita idam-idamkan wahai teman? Bagaiman jika keluarga kita yang terlibat dalam masalah ini? Jika Ibu dan Ayah kita masih hidup, apa rasanya perasaan mereka melihat anak yang sebegini jadinya? Bisakah terukir sekuntum senyuman atau hati yang pedih pilu?

Demikianlah baju melayu bertemu baju kurung. Konklusi yang mudah. TIADA COUPLE SEBELUM KAHWIN. Tidak pernah Islam mengajar kita cara ini. Nilai cinta dan martabat wanita amat tinggi di sisi Islam. Islam memuliakan dan menyucikannya. Perkahwinan menurut Islam, adalah demi memperbanyakkan umat yang akan memperjuangkan Agama ini. Membasmi kemaksiatan dan zina. Hanya bermatlamat kerana Allah. Jika mahukan pasangan yang baik lagi suci, perhatikan diri kita. Adakah kita cukup suci untuk dipasangkan dengannya. Ingat, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan sebaliknya. Salurkan cinta kepada penduduk Palestin saudara kita. Mereka amat memerlukannya. Man la yahtammu bil amril muslimin, fa laisa munhum.

Cinta itu suci, jangan cemarinya.

Man la yarham, la yurham.

Bakara Allah lakuma.

Salam hormat.

Tuesday, June 15, 2010

Aku Tak Redha !











Bismillah...



Kali ini ingin berkongsi tentang satu perkara yang sering kali penulis terdengar kalam ini tatkala hidup di asrama Maktab Mahmud Yan dahulu..." Aku tak redha !" ... sudah menjadi kebiasaan agaknya waktu itu, tapi penulis tidak pasti adakah perkataan ini sering kali juga diucapkan di Maktab Mahmud Yan pada waktu ini, apapun moga-moga sedikit coretan ini dapat memberi sesuatu yang lebih baik kepada kita...


KES 1: “Kau tahu tak,si minah tu.Depan aku punyalah baik,pijak semut pun tak mati,angkat kertas pun tak larat. Belakang aku,dia boleh goda suami aku.Sebab dialah aku menjanda.Aku tak redha! Jangan haraplah aku nak maafkan dia.Sakit hati ni tahu tak..sakit!!”

KES 2: “pakcik kedai tu penipu besar. Dah la tua tak sedar diri. Harga aiskrim tu terang-terang tulis RM 1.20. Aku bagi RM 2 kat dia,dia pulangkan balik 20sen je. Aku tak redhakan duit 50sen aku tu.50sen pun nak amek ka”

KES 3: “uwaaa..sapela yang langgar kucing aku ni..kucing besa camni pn tak nampak ke..aku tak maafkan sape yang langgar ni!”

KES 4: “Aku tahu minah tu banyak ngumpat pasal aku. Ngumpatlah puas2…sikit pun aku tak redha. Aku nak tengok jauh mana dia bolah bahagia tanpa kemaafan aku”

Dan bermacam-macam kes lagi yang kita pernah dengar malah mungkin juga kita pernah menjadi salah seorang watak dalam contoh kes tersebut.

Pengertian redha: Menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

Sering kali kita berasa kurang senang dengan apa yang berlaku kepada kita. Rasa sakit dihati menyebabkan kita sukar untuk redha dengan apa yang berlaku.

Persoalan 1 : Apakah yang kita dapat jika kita tidak redha? Kepuasan? Ketenangan?

Persoalan 2: Lupakah kita segala yang berlaku adalah ketentuan dari Allah? Malah sehelai daun pun tak akan gugur tanpa izin dariNya.

Persoalan 3: Lupakah kita segala yang Allah tentukan punya hikmah disebaliknya. Itu adalah pasti kerana Allah tidak akan berbuat sesuatu tanpa sebab. Sedang lalat juga diciptakan ada sebabnya..

Persoalan 4: wajarkah kita menyalahkan dan berdendam dengan orang yang menyebabkan kita ’sakit’? Sedang Allah menjadikan ketentuan itu untuk menguji kita, wajarkah kita menyalahkan orang lain atas ketentuan yang Allah sudah tetapkan untuk kita.

Ya.memang sakit. Siapa tidak sakit hati andai kepunyaan diri dirampas orang. Siapa yang tidak sakit hati andai ketenangan dan kebahagiaan diri dirampas. Siapa yang tidak sakit hati andai orang itu penyebab orang mahupun binatang kesayangan kita mati? Siapa yang tidak sakit hati andai hak kita dizalimi? Siapa yang tidak sakit hati andai keaiban kita(samada betul atau tidak) dijaja orang?

Mungkin ada orang seperti itu namun hanya sedikit sekali.

Namun,bukan kita untuk menetapkan sesuatu. Bukan kita untuk menghukum orang lain. Bukan kita. Kita tidak layak.kita bukan penghukum.

Bersabarlah dengan ketentuanNya. Walau pahit, walau sakit, walau hancur bagaimanapun hati kita..bersabarlah. sungguh, sabar itu milik Allah. Mohonlah agar Dia mengurniakan kita kesabaran yang padu, ketabahan dalam menghadapi apa yang telah Dia tentukan untuk kita. Percayalah, dan sentiasalah percaya. Setiap kesabaran yang dipertahankan itu ada ganjaran yang menanti disebaliknya.

” Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya “. ( Riwayat Muslim )

” Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! ” Kerana sesungguhnya perkataan : “andaikata…” itu memberi peluang pada syaitan ” . (Riwayat Muslim)

Bukan Allah tidak tahu betapa hancurnya hati kita,betapa remuknya jiwa kita,betapa sakitnya kita. Dan bukan Allah tidak tahu betapa banyak baldi air mata kita tertumpah. Segalanya dalam pengetahuanNya. Namun Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.Dia tidak akan menjadikan sesuatu perkara yang sia-sia. Dan berdoalah agar Dia sentiasa menetapkan yang tebaik buat kita.

Renung-renungkanlah dan selamat beramal ^_~

ibnmisr_91


Monday, June 14, 2010

Majlis T.A.U.T.A.N Generasi Ke-6 MMY














Bismillah...

27 mei 2010, sabtu bertempat di Kem Kenari Yan, telah berlangsungnya satu majlis Tinta Ukhwah Tautan Nadwah(T.A.U.T.A.N) anjuran Generasi ke-6 Maktab Mahmud Yan, majlis bermula pada jam 11.00 pagi dengan kehadiran bekas pelajar Maktab Mahmud Yan generasi ke-6, para hadirin bertungkus lumus menyiapkan persediaan majlis sebelum para guru hadir.

Majlis bermula pada jam 12.00 tengahari apabila guru-guru lelaki Maktab Mahmud Yan melangkah ke tampat majlis, dimulakan dengan ucapan pengarah program, saudara Habib Bin Abdul Fisol yang menyentuh memori-memori dahulu ketika bersama sahabat di asrama MMY, juga berkaitan matlamat diadakan majlis untuk meneruskan ikatan ukhwah yang telah dibina di MMY dahulu, wakil guru iaitu Sir Azman turut memberi kata semangat buat para hadirin yang menekankan tentang tiga perkara, ikatan, ingatan dan haluan, turut menyempurnakan majlis Tuan Pengetua Maktab Muhmud Yan, ustaz Abdullah yang kagum dan bangga dengan pelajar-pelajar MMY yang sentiasa memberi kecemerlangan kepada sekolah.


Seterusnya para hadirin dihidangkan dengan makanan yang pelbagai warna dan rasa, ringan dan berat, sambil menikmati keenakan makanan, pihak penganjur mengadakan sesi cabutan bertuah yang menyediakan hadiah-hadiah begitu menarik, tahniah kepada yang bertuah. Dalam masa yang sama tayangan slied turut menyerikan majlis.


Majlis berakhir pada jam 5 petang,jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada barisan AJK yang bertungkus lumus dari sebelum majlis hinggalah ke akhir majlis dengan jayanya, semoga majlis ini mendapat rahmat dari Allah s.w.t dan ukhwah generasi ke-6 Maktab Mahmud Yan lebih kuat dan erat.

Saturday, June 12, 2010

Hukum simpan gambar yang berlawanan jantina

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya satu soalan yang diajukan kawan saya. Tentang hukum menyimpan gambar yang berlawanan jantina. Tetapi dia mahukan hujah yang mengatakan boleh dan hujah yang mengatakan tidak boleh. Alasannya tidak mahu bias kepada satu pihak sahaja. Jika boleh, minta ustaz sertakan hujah (dalil atau hadis). tq.jzkk

Jawapan:



Pada kebiasaannya, seseorang menyimpan gambar orang lain adalah untuk melihatnya. Jadi hukum menyimpan gambar seseorang dengan tujuan untuk melihatnya dari semasa ke semasa adalah sama hukumnya dengan hukum melihat kepada orang itu sendiri. Melihat kepada seseorang yang berlainan jantina adalah dibolehkan dengan syarat tidak melihat kepada auratnya dan tidak melihatnya dengan syahwat. Atau dengan lain perkataan tidak boleh melihat kepada aurat seseorang atau jika ia disertai dengan rasa syahwat walaupun melihat kepada bukan aurat. Aurat bagi wanita adalah keseluruhan badan kecuali muka dan tangan (hingga pergelangan tangan), manakala aurat lelaki adalah selain daripada antara pusat dan lutut. Perlu dinyatakan juga melihat kepada bukan aurat tetap tidak dibolehkan jika dibimbangi akan berlaku fitnah.

Maka hukum menyimpan gambar seseorang yang berlainan jantina dengan tujuan untuk melihatnya adalah sama dengan hukum di atas; iaitu jika gambar tersebut memperlihatkan aurat, maka haram melihatnya. Begitu juga (haram hukumnya) jika melihat kepada bukan aurat tetapi disertai dengan rasa syahwat yang boleh menyebabkan kepada perlakuan dosa dan maksiat.

Oleh itu, adalah lebih baik jika tidak menyimpan gambar seseorang yang berlainan jantina kerana dibimbangi akan membawa kepada perlakuan dosa dan maksiat daripadanya, dan mungkin juga boleh menyebabkan kemudaratan seperti menimbulkan rasa syak wasangka daripada seorang suami terhadap isteri atau sebaliknya yang akan menjejaskan hubungan antara mereka, sedangkan perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

Kecuali jika penyimpanan gambar seseorang yang berlainan jantina itu dilakukan dengan sebab keperluan tertentu, seperti pihak majikan menyimpan semua gambar pekerjanya untuk tujuan pengenalan, keselamatan dan sebagainya, maka pada ketika ini dibolehkan pada kadarnya sahaja.

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh:
Anwar Fakhri Omar
Sekretariat MUIS

Tuesday, June 1, 2010

Isu Kita !



















Tanggal
31 Mei 2010, perhatian dunia tertumpu pada peristiwa yang berlaku ke atas rombongan kemanusiaan Flotilla dari Turki. Kesan gempur dari tentera Israel, beberapa orang mati syahid, dan agak ramai yang tercedera.

Lalu bertimbun-timbun respon datang dari berbagai pihak. Rata-ratanya menzahirkan rasa benci dengan kekejaman Israel. Ada yang memberi gelar lanun, dan ada yang mengisytihar 'perang'. Dan di kebanyakan negara, demonstrasi dirancang untuk diadakan bagi menunjukkan komitmen dan bantahan terhadap penyerangan ini.

Hakikat di sebalik rombongan kemanusiaan ini, dan peristiwa penyerangan ke atas mereka, ialah satu lagi bukti nyata buat beberapa perkara.

  1. Ternyata Israel sedaya-upaya mahu melumpuhkan Gaza yang diduduki oleh saudara-saudara kita yang menyokong perjuangan HAMAS untuk mengembalikan hak umat Islam.
  2. Zahirnya sifat sombong dan angkuh Israel dengan kesanggupan untuk menyerang sesiapa sahaja yang ingkar tanpa mengira golongan manusia, walau tanpa sebarang bukti.
  3. Yang paling jelas dan utama, pertembungan ini ialah satu siri kecil dari pertembungan yang sudah lama berlaku dalam garis masa pendudukan Palestin, dan merupakan pertembungan yang bukan sekadar menghadapi beberapa orang komando Israel, malah seluruh kekuatan dan institusi dunia (termasuk media seperti Twitter) yang berada di bawah pengaruh dan cengkaman Israel.
Menyedari semua ini, adalah tidak cukup rasional, jika kita merasakan cukup dengan membantah sedikit sebanyak di media-media sosial, dan melakukan demonstrasi sehari dua. Pertembungan ini jauh lebih besar dan kritikal, serta lebih ganas, dari apa yang mungkin kita bayangkan.

Makanya, supaya situasi dan kondisi ini diubah, kita hanya ada satu jalan. Ia adalah satu-satunya jalan yang dinyatakan oleh Kuasa Maha Besar yang mampu mengubah semua ini.

Dalam surah Ar-Ra'd, ayat 11, ada firman Allah berbunyi :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka sendiri "

Sesungguhnya, hanya ini jalannya. Kesedaran akan bahaya yang menimpa umat Islam, dan menyebarkan kesedaran ini, dikuatkan oleh doa yang ikhlas, semuanya secara konsisten dan berterusan, adalah kunci utama penyelesaian yang berimpak besar dan efektif.

Jangan hanya berkocak bila diusik. Jangan hanya berteriak bila dicucuk.

Semoga Allah merahmati roh mereka yang terkorban. Selamat beramal.















al-Akh...