Tuesday, June 1, 2010

Isu Kita !



















Tanggal
31 Mei 2010, perhatian dunia tertumpu pada peristiwa yang berlaku ke atas rombongan kemanusiaan Flotilla dari Turki. Kesan gempur dari tentera Israel, beberapa orang mati syahid, dan agak ramai yang tercedera.

Lalu bertimbun-timbun respon datang dari berbagai pihak. Rata-ratanya menzahirkan rasa benci dengan kekejaman Israel. Ada yang memberi gelar lanun, dan ada yang mengisytihar 'perang'. Dan di kebanyakan negara, demonstrasi dirancang untuk diadakan bagi menunjukkan komitmen dan bantahan terhadap penyerangan ini.

Hakikat di sebalik rombongan kemanusiaan ini, dan peristiwa penyerangan ke atas mereka, ialah satu lagi bukti nyata buat beberapa perkara.

  1. Ternyata Israel sedaya-upaya mahu melumpuhkan Gaza yang diduduki oleh saudara-saudara kita yang menyokong perjuangan HAMAS untuk mengembalikan hak umat Islam.
  2. Zahirnya sifat sombong dan angkuh Israel dengan kesanggupan untuk menyerang sesiapa sahaja yang ingkar tanpa mengira golongan manusia, walau tanpa sebarang bukti.
  3. Yang paling jelas dan utama, pertembungan ini ialah satu siri kecil dari pertembungan yang sudah lama berlaku dalam garis masa pendudukan Palestin, dan merupakan pertembungan yang bukan sekadar menghadapi beberapa orang komando Israel, malah seluruh kekuatan dan institusi dunia (termasuk media seperti Twitter) yang berada di bawah pengaruh dan cengkaman Israel.
Menyedari semua ini, adalah tidak cukup rasional, jika kita merasakan cukup dengan membantah sedikit sebanyak di media-media sosial, dan melakukan demonstrasi sehari dua. Pertembungan ini jauh lebih besar dan kritikal, serta lebih ganas, dari apa yang mungkin kita bayangkan.

Makanya, supaya situasi dan kondisi ini diubah, kita hanya ada satu jalan. Ia adalah satu-satunya jalan yang dinyatakan oleh Kuasa Maha Besar yang mampu mengubah semua ini.

Dalam surah Ar-Ra'd, ayat 11, ada firman Allah berbunyi :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka sendiri "

Sesungguhnya, hanya ini jalannya. Kesedaran akan bahaya yang menimpa umat Islam, dan menyebarkan kesedaran ini, dikuatkan oleh doa yang ikhlas, semuanya secara konsisten dan berterusan, adalah kunci utama penyelesaian yang berimpak besar dan efektif.

Jangan hanya berkocak bila diusik. Jangan hanya berteriak bila dicucuk.

Semoga Allah merahmati roh mereka yang terkorban. Selamat beramal.















al-Akh...

1 comment: