Friday, October 29, 2010

Diri Kita Yang Mesti Diubah

Bismillah...

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” (Ar-Ra’d: 11)



Ketikamana Allah (swt) menurunkan al-Quran kepada Rasulullah (saw), lalu baginda membacakannya kepada kaum Arab pada waktu itu, al-Quran memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap jiwa mereka dan menguasai sepenuh hati mereka, dengan itu Allah mengubah diri mereka menjadi peribadi-peribadi yang sangat berbeza keadaan mereka selepas memeluk Islam jika dibandingkan dengan keadaan mereka semasa jahiliyah.


Sebagaimana al-Quran memberi kesan kepada hati orang-ornag mukmin, demikian jugalah ia memberi kesan kepada hati para musyrikin. Akan tetapi kesan al-Quran pada jiwa orang musyrikin adalah kesan yang sementara dan bersifat negatif. Kesan yang menyebabkan mereka menjauhkan diri mereka daripadanya sambil berkata sesama mereka:

“Janganlah kamu mendengar (bacaan) al-Quran ini dan rekalah kata-kata bathil serta palsu sekitarnya, moga-moga kamu dapat mengalahkan (mereka),” (Fussilat: 26).

Adapun bagi orang-orang beriman, " (iaitu) Mereka yang mendengar perkataan lalu mengikut yang terbaik di antaranya. Merekalah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan merekalah orang-orang yang berakal, ” (Azzumar: 18). Justeru, kesan Al-Quran terhadap mereka adalah kesan yang positif pada setiap masa, ia mengubah diri mereka daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain, serta mendorong diri mereka untuk berhias dengan akhlak-akhlak yang mulia lagi terpuji.

“Allah telah menurunkan sebaik-baik kalam iaitu al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit-kulit orang-orang yang takutkan Tuhan mereka kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan Kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki,” (Azzumar: 23).

Sahabat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama merenung kembali hubungan kita dengan al-Quran yang mulia. Adakah terkesan jiwa kita bilamana mendengar ayat-ayatnya yang suci? Sejauh manakah ia mampu membentuk akhlak dan peribadi kita? Dan adakah ia terkesan di dalam hati kita sepertimana terkesannya hati-hati para salaf dengannya?

Tidak wahai saudara-saudaraku! Sungguh, kita hanya semata-mata membaca al-Quran, hanya mengulang-ulang kalimat-kalimatnya dan melagu-lagukan bacaannya, namun limpahan al-Quran dan penghayatannya tidak pula menjadi kepentingan bagi kita sebagaimana para salafussoleh terdahulu yang begitu terkesan dengan al-Quran apabila mendengar ayat-ayatnya dibacakan.

Justeru, marilah kita mengikuti jejak langkah para salafussoleh. Apa yang kita sama-sama inginkan adalah supaya umat al-Quran dan negara Al-Quran kembali tertegak menyinari alam yang sedang berada di dalam kegelapan .

Realitinya, sesungguhnya kita pada hari ini begitu jauh dengan penghayatan al-Quran yang sebenarnya. Bahkan kita pada hari ini begitu mengutamakan dunia dan mencintainya dengan sepenuh hati kita. Tidakkah kita pernah memerhatikan firman Allah (swt) maksudnya:

“Katakanlah, sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah, rasulnya, dan jihad di jalannya maka tunggulah sehingga Allah memberikan keputusannya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik” (at-Taubah: 24).

Sahabat yang dikasihi,

Kita seringkali melihat kepada sebab-sebab dan menganggapnya punca segala sesuatu sehingga kadang-kadang kita terlupa untuk mengambil kira adanya di sana kehendak Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa, serta pertolongannya bagi wali-walinya tanpa disangka-sangka. Allah berfirman yang bermaksud,

“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan jadikan jalan keluar baginya dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan mencukupkan (keperluannya),” ( Attolaq: 2&3).

Justeru, mari kita sama-sama mengubah jiwa kita berpandukan wahyu tuhan ini, lalu kita akan menjadi lebih yakin dengan apa yang berada di tangan Allah daripada apa yang berada di tangan kita sendiri.

Sebahagian daripada kita sangat mudah untuk marah hanya disebabkan perkara yang kecil dan remeh, lalu kita memutuskan hubungan, saling bermasam muka dan sebagainya samada disebabkan oleh perkara yang munasabah ataupun tidak, sedangkan Allah (swt) berfirman yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (swt) dan janganlah kamu berpecah belah,” (Ali Imran : 103).

Demikian juga firmanNya dalam ayat yang lain yang bermaksud:

“Hanyasanya orang-orang yang beriman itu bersaudara,” (al-Hujurat:10).

FirmanNya lagi yang bermaksud:

“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lain,” (at-Taubah: 71).

Justeru, adakah kita terkesan dengan firman-firman Allah ini? Lalu kita melupakan kebencian dan kedengkian di antara kita serta cuba untuk menyucikan hati dan perasaan sehingga kita mampu bersatu di atas kalimah Allah dan menjadi saudara kerana Allah semata-mata?

Allah (swt) berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitulah) mereka yang kusyuk dalam solatnya, meninggalkan perkara-perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kemaluan, kecuali kepada isteri-isteri atau hamba-hamba mereka maka mereka tidaklah tercela,” ( al-Mukminun: 1-11).

Di manakah kita daripada sifat-sifat mulia tersebut? Khusyuk dan menjaga solat, meninggalkan perkara yang sia-sia dalam perkataan dan perbuatan, kerana setiap perkara samada yang kecil ataupun besar dicatat oleh Allah. Begitu juga dengan mengeluarkan zakat fitrah, zakat harta sebagai melaksanakan tanggungjawab, menyucikan harta, mengelakkan fitnah, dan berbakti kepada orang-orang fakir dan miskin. Serta menjaga kemaluan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah dan menjaga apa yang berkaitan dengannya samada mata, telinga, mulut, hidung, tangan dan kaki.

Di manakah kita sekarang daripada sifat-sifat yang digambarkan dalam al-Quran perihal mukminin yang sejati dan para salafussoleh lalu mereka menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umat manusia?

Inilah sebahagian contoh ajaran-ajaran al-Quran yang telah membentuk akhlak mereka sehingga menjadi sinaran cahaya bagi manusia seluruhnya, dan yang telah memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar. Justeru adakah kita berazam untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik? Dengan itu akan berubahlah kehidupan kita…Insyaallah.

Ya Allah, perkenankanlah harapan dan permintaan kami, Amiin!!

Thursday, October 21, 2010

Maruah Yang Dijaja

Bismillah...











Maruah adalah satu unsur yang amat bernilai. Bagi sesetengah mausia, nilaian maruah tiada tolok bandingnya. ‘Dijaja’ pula amat sinonim dengan menjual, melariskan, atau lebih mudah, berniaga. Maruah merupakan sesuatu unsur yang perlu dipertahankan sedangkan ‘Dijaja’ pula bermatlamat keuntungan dan pasaran yang terbuka bak kata orang ekonomi. ‘Maruah’ dan ‘Dijaja’ amat berbeza baik dari aspek definisi mahupun penghayatan. Namun, apabila ada pihak yang cuba mencampur-adukkan kedua-duanya atau menghalalkan persenyawaan antara kedua-dua terma ini, atas nama hak-hak peribadi, kebebasan individu, atau profesionalisma berkerjaya, buruk padahnya.

Melihat sejenak kepada perkembangan industri lakon layar, seni tari, seni suara, seni visual, dan perfileman negara, segalanya berlaku dengan amat rancak. Semakin hari, makin ramai bintang atau permata muda dalam industri ini yang dilahirkan. Saluran atau platfom kemunculan mereka, tidak terkira banyaknya. Mereka penuh dengan pembaharuan dan nilai-nilai kontemporari. Yang bergelar ‘orang lama’ atau vateran seni pula, yang sarat dengan pengalaman tentu sukar digugat. Senario ini mewujudkan persaingan karier dan kerjaya yang amat sengit. Mereka perlu bersaing bagi membintangi filem-filem terkini, mendapat peluang membuat rakaman album terbaru dan sebagainya. Suasana ini bukan sahaja tentang survival mereka dalam industri seni, namun juga barkaitan periuk nasi mereka.

Lumrah manusia, dalam sengitnya survival, hanya yang terbaik atau berfikiran sedikit terkehadapan akan selamat. Tuntutan karier memerlukan mereka lebih berani didepan lensa kamera bagi memastikan nama selaku pelakon laris dan menggunung tawaran menjelma pula. Meskipun pada dasarnya, dia si pelakon itu adalah seorang muslim atau muslimah, namun atas desakan arus, dia tewas. Tiada masalah baginya berpakaian seperti pelakon Holiwood, asalkan dia jadi pelakon utama. Adakah ini yang sewajarnya?

Ini baru satu aspek yang dapat disentuh pada coretan kali ini. Jika hendak kita bicarakan semua, tidak tertulis jadinya. Bukan tujuan artikel ini untuk menghentam industri seni negara. Seni itu tiada salahnya. Berlakon itu tiada silapnya. Menyanyi itu tidak semestinya membawa lalai dan leka. Semua ini adalah sebahagian dari Islam. Apa yang penting adalah kita melihat aspek holistiknya dan menyeluruhnya Islam ini. Jangan kerana hendak dapat nama, maruah selaku seorang muslim digadai dengan semurahnya.

Maruah tak ternilai

Salam Takzim