Tuesday, July 12, 2011

Persediaan Ramadhan


Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda diberikan satu tempoh masa untuk melakukan sesuatu dan setelah tempoh itu habis, maka anda dilarang dari melakukan perkara tersebut? Sekiranya perkara ini terjadi, maka apakah tindakan yang akan anda lakukan?

Sebagai contoh, anda diberi masa sebulan untuk menyiapkan sebuah kereta untuk satu perlumbaan. Setelah tempoh sebulan berlalu, anda tidak dibenarkan lagi melakukan apa-apa. Sudah tentu anda akan menggunakan masa sebulan itu dengan sebaik mungkin untuk menyediakan kereta yang terbaik. Tayar terbaik digunakan, minyak mencukupi dan berkualiti, badan kereta yang sesuai untuk berlumba dan bermacam-macam lagi yang anda lakukan.

Berdasarkan tajuk kali ini, pernahkah anda terfikir bahawa syaitan juga akan menggunakan masa dan peluang yang ada dengan semaksima dan sebaik mungkin untuk persiapan melalui bulan Ramadan?

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Daripada Rasulullah SAW:

“Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan” (riwayat Bukhari)

Berdasarkan mafhum hadis ini, ketahuilah kita bahawa syaitan akan dibelenggu pada bulan Ramadan. Jadi sudah tentu syaitan akan menghasut, mengerahkan segala usaha, menggunakan segala tipu daya agar segala janji syaitan untuk menyesatkan manusia terlaksana walau dalam keadaan mereka dibelenggu di bulan Ramadan.

Nafsu manusia akan dilatih, disuap, dibelai dihidangkan dengan keseronokan dan keasyikan agar di bulan Ramadan nanti, ia akan menjadi raja yang memerintah manusia. Itulah yang sering terjadi. Walau di bulan Ramadan, masih ada kerosakan dan maksiat yang dilakukan manusia.

Dengan itu, ketahuilah kita bahawa masa atau fasa sebelum masuknya bulan Ramadan adalah fasa dan waktu yang sangat kritikal. Ia akan menentukan keberjayaan dan prestasi kita pada bulan Ramadan tersebut.

Sebagaimana nabi kita Muhammad SAW mendidik kita dengan doa seperti yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Rasulullah SAW, apabila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan – riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani.

Begitulah antara isyarat-isyarat yang baginda tunjukkan kepada kita. Pentingnya keberkatan dari Allah serta perlindungan dan rahmat-Nya pada fasa dan waktu sebelum kita memasuki bulan Ramadan.

Jadi,bagaimanakah caranya untuk kita persiapkan diri kita dalam tempoh waktu yang kritikal ini? Apakah yang perlu kita lakukan?

Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan antaranya:

  1. Seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW hendaklah kita selalu berdoa “Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Kerana hanya dengan hidayah dan kasih sayang Allah sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari nafsu dan syaitan.
  2. Bertaubat yang benar. Agar hati kita bersih dari belenggu dosa dan nafsu yang menyesatkan. Mudah bagi kita untuk melawan nafsu. Agar di bulan Ramadan, kita seperti kain putih yang ingin dicorakkan dengan tarbiyyah Allah SWT.
  3. Perbanyakkan puasa sunat kerana ia mampu mendidik dan melatih nafsu kita. Mengawal diri kita dari keinginan yang merosakkan. Puasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, puasa Isnin dan Khamis. Jika ada puasa yang perlu diganti, maka bersegeralah menggantikannya.
  4. Perbanyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Agar waktu-waktu terluang kita diisi dengan beribadah kepada Allah. Kerana jika tidak, sudah tentu kita akan mengisinya dengan perkara yang sia-sia dan maksiat.
  5. Menghidupkan suasana di rumah dan di tempat-tempat yang selalu kita ada seperti di tempat kerja dan juga di dalam kenderaan. Kita boleh menampal poster atau kad berkaitan Ramadan,memasang lagu Ramadan, menghantar SMS dan kad ucapan Ramadan, menanda kalendar agar kita sentiasa sedar akan kedatangan Ramadan dan bersedia untuk menyambutnya.
  6. Muhasabah diri. Sekiranya dalam tempoh waktu yang kritikal ini kita masih lagi leka dan alpa dengan perkara kemaksiatan dan perkara yang sia-sia seperti melihat perkara yang haram, melayan movie yang tidak elok, bermain game 24 jam, mencarut, membuang masa, meringan-ringankan sembahyang, maka ketika itu haruslah kita berhenti dan berazam meninggalkannya sebelum kita terlewat. Kerana apabila kita sudah biasa melakukannya, maka kita akan terbiasa melakukannya walau ketika bulan Ramadan.
  7. Melatih diri dari sekarang dengan bersedekah, qiamullail, berzikir, puasa sunat, membaca quran, melawan perasaan malas.
  8. Merancang Ramadan anda. Kalau boleh sediakan borang atau senarai perkara-perkara yang perlu dan ingin dicapai di bulan Ramadan. Seperti sasaran berapa kali hendak khatam, solat fardhu jemaah di masjid, qiamullail, sedekah dan lain-lain.

Itulah serba sedikit perkongsian persediaan-persediaan yang lebih utama kita lakukan dalam tempoh kritikal sebelum kita menyambut Ramadhan.

Rugilah bagi sesiapa yang melalui Ramadhan dan Allah tidak mengampunkan dosanya.

Wednesday, April 13, 2011

Cinta Oh Cinta !


Bismillah













Pantun orang Melayu zaman dahulu:

Nasi lemak buah bidara
daun selasih saya lurutkan
buang emak buang saudara
kerana kasih saya turutkan

Kalau roboh kota Melaka
papan di Jawa saya sorongkan
kalau sungguh bagai dikata
jiwa dan raga saya serahkan

Orang muda kita pula berkata:

‘cinta itu buta’
‘cinta tak boleh dijual beli’
‘cinta medic’
‘sms On Cinta’
‘engkau bagai air yang jernih di dalam bekas yang berdebu’
‘dua hati jadi satu bila kita bertemu’
‘bulan madu di awan biru tiada yang mengganggu’
‘aku memang pencinta wanita tapi ku bukan buaya’

gila-gila cinta
harganya mahal
nak beli tidak daya
tapi ia datang percuma
dengan sepenuh jiwa dan raga
meredah, melanggar sesiapa sahaja yang menghalangnya
kerana ia tidak bermata
emak sendiri pun sanggup dibuang demi kesetiaan pada si dia
mata sepet tidak mengapa
hidung kembang alangkah lawanya
sudah bersatu dunia kita
susah senang kita berdua
dunia akhirat kita bersama

wah …. wah …. wah

Datang zaman kebangkitan Islam. Arus dakwah terkena kepada sesiapa sahaja samada orang ini memang nak berdakwah atau orang ini adalah sasaran dakwah. Berubah nilai dan neraca. Yang dahulunya jahiliah bertukar jadi Islamik dengan sedikit ‘dakwahisasi’. Orang muda sekarang cerdik sungguh…. Pandai ‘adjust-adjust’. Pandai‘modify’. Mereka ni mungkin tak pernah lagi berjaya mengislamkan orang bukan Islam,tapi mengislamkan unsur-unsur jahiliah ni cekap bukan main. Bukankah Adam dulu juga bercinta dengan Hawa? Bukankah Nabi Sulaiman juga bercinta dengan Ratu Balqis? Bukankah qudwah cinta sejati itu pada Ali dan Fatimah? Ni semua akibat baca silibus usrah tak betullah ni.

Lalu da’ie zaman moden pun bercintalah juga. Tapi mereka bercinta tidak sama macam orang lain tahu. Sempadannya batasan syarak. Main-main perasaan sahaja, tidak lebih dari itu. Takut Allah murka, tak berkat dakwah nanti.

kau tahu ku mencintaimu
ku tahu kau mencintaiku
ooohhhh kasih
bersabarlah sayang
saat indah kan menjelma jua

tapi …….

‘sebelum diijabkabulkan syariat tetap membataskan’

Temu janji bukan di panggung wayang. Bukan kat Dataran Merdeka. Bukan kat Hard Rock Cafe. Ni da’ie ni ….. Tempat-tempat lagho macam tu tak mainlah ….

alangkah riangnya hatiku
luahan rasaku mendapat perhatian
ku terima balasan darimu
kau jua menyimpan perasaan

warkahmu memberi kepastian
agar kejayaan menentu pertemuan
setiap kali di akhir katamu
kau selalu tulis
SEE YOU DI ICV
…eeh silap IPT (sorry orang Victoria)

Mereka ada fikrah Islamiah …. fikrah asolah lagi. Sebab tu bila bercinta mereka ni setia dan sanggup berkorban segala-galanya. Maklumlah … cinta mereka ni lahir dari tasawwur yang jelas dan fikrah Islamiah yang tulen.

cinta itu cahaya sanubari
kurniaan Tuhan fitrah insani
dan di mana terciptanya cinta
di situ rindu bermula

cinta itu tidak pernah meminta
tetapi memberi sepenuh rela
rasa bahagia biar pun sengsara
berkorban segala-gala

Samar …. Buka Lampu Sikit

Sikit membebel ni bukan kerana apa. Kerana sayang dan harapan yang kami berikan kepada pendakwah-pendakwah muda. Harap-harap jangan tertipu dengan perkara-perkara seumpama ini.

Cinta sememangnya fitrah manusia. Jalan terbaik untuk menyalurkan fitrah adalah pada perkahwinan. Penegasan diberikan oleh Rasulullah s.a.w.: “Tetapi aku berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku, dia bukan dari kalangan umatku.”









Jaga pandangan mata. Jaga pergaulan. Kita ada batas pergaulan kita sendiri.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua mata juga berzina dan zina mata adalah pandangan.”Sabdanya lagi: “Tidak halal bagi seseorang bersunyi-sunyian dengan seseorang yang bukan muhrim.”

Itu semua adalah perisai untuk tidak terjebak ke dalam isu-isu cinta yang tidak syar’ie. Jangan suka sangat chating dengan orang yang kita sendiri pun sebenarnya tak tahu mana datangnya. Buang masa satu hal. Letih melayan perasaan satu hal lagi. Letih nak ‘mengayat’ satu hal lagi.

Jangan juga ambil kesempatan untuk buat ‘marketing’ dalam aktiviti-aktiviti bersama lelaki perempuan. Kalau aktiviti sesama lelaki, pakai kain pelekat dengan t-shirt pun tak pe. Busuk sikit, tu bukti kita kuat buat dakwah sampai tak sempat nak mandi. Kalau aktiviti bersama, siap mandi dan sental seluruh badan. Seterika baju, pilih baju, pakai stokin, kiwi kasut, pakai gel rambut dan pastikan ‘gaya thiqah’.

Dr. Yusof al-Qardhawi berkata: “Cinta akan mencari manusia. Tetapi manusia jangan mencari cinta.” Jangan ikut sangatlah kawan-kawan kita yang letak kesempurnaan seorang lelaki dan wanita adalah pada ‘bercouple-couple’. Jangan letak target untuk mencintai seseorang. Tapi kalau tiba-tiba jatuh hati kat seseorang, bagitahulah abang-abang dan kakak-kakak kita. Cuba ‘story’ sikit perasaan kita tu baik-baik. Kalau masih belum berpunya, apa salahnya, kami boleh tolong pinangkan. Itu kalau sekufu’lah. Kan ke kita faham maksud sekufu’ tu? Maksudnya kita cari orang-orang yang sama-sama nakkan cara hidup Islam, bina keluarga Islam dan menyumbang pada umat.

Kalau ada ‘awek’ lama atau ‘balak’ lama (pinjam istilah orang muda), ingat balik matlamat hidup kita. Nafsu tu sekejap je boleh dipuaskan. Tapi keharmoniaan dan kebahagiaan bukan senang nak cari. Jangan merungut kalau nanti susah nak ikut aktiviti dakwah dan sumbangan juga jadi terbatas. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sedih putus cinta dengan awek lama tu sekejap je boleh hilang. Menanggung derita hidup bersama awek lama yang dah jadi isteri tu bukan senang.

Kalau emak ayah dah carikan, ukur dan nilai balik calon tu berdasarkan neraca Islam yang kita faham. Kalau kena neraca tu, tawakkal alaAllah. Kalau tak kena, sembang baik-baik dengan emak ayah. Mereka boleh faham tu. Jangan risaulah. Tak da istilah ‘saya terperangkap oleh perancangan emak dan ayah saya’. Emak ayah kita tak buat konspirasi macam tu. Ada la kot sikit-sikit kes terpencil macam tu, tapi dalam banyak kes sebenarnya boleh bincang lagi. Takut kita je sebenarnya yang ‘terpesona’ dengan calon emak ayah kita lalu kita pun ‘terperangkap’. Lalu yang mekap tebal seinci, skirt pendek, suka duduk depan tv, tak suka dengar Ikim.FM dan yang seumpamanya kita setuju untuk hidup bersama kita selama-lamanya … mengharungi alam dakwah bersama-sama … dunia akhirat bersama. Macam pelik je bunyinya tu.

Kalau dah ada calon, dah setuju pada peringkat keluarga dan dah bertunanglah dengan istilah mudahnya, jaga batas-batas perhubungan. E-mail, sms, chat dan lain-lain teknologi hari ini jangan disalahguna. Ada masa boleh, ada masa tidak boleh. Ikut keperluan dan jaga batas-batasnya.

Memanglah pendakwah muda ni kalau tulis email dan berchating, dia tak tulis macam orang lain. Jiwang-jiwang tak mainlah. Mereka ni baca kitab Muntalaq. Kami adalah anak-anak singa dan bukannya kijang yang jinak. Amboiii. Tapi kadang tu kita tak perasan, jiwang tidak datang dalam satu bentuk sahaja. Jahiliah berubah bentuk. Maka begitulah juga dengan jiwang. Dulu ‘I love you’. Sekarang ‘bersamalah kita memburu cinta Allah’. Dulu ‘demimu sayang lautan sanggup ku redah’. Sekarang ‘moga-moga kita dapat bersama-sama thabat mengharungi dakwah ini’.

Ini adalah sikit nasihat. Harapnya tidak ada yang berasa hati. Moga kita dapat menjaga diri kita lebih dari kita menjaga diri orang lain.


Monday, November 15, 2010

Bidang Kita : Dewasa Sebelum Masanya

Kira-kiranya,ramai teman-teman saya(sejak dari kecil sehingga sekarang), telah pun memilih jalan mereka untuk menjadi siapa mereka tika dewasa nanti.Macam-macam aneka bidang yang ada,dan berbagai-bagai pilihan telah dibuat.Doktor,Engineer,Juruteknik,Peguam,bahkan Pilot juga ada.Masing-masing dengan masa depan masing-masing.Memilih kedewasaan masing-masing .

Saya sendiri,

Saya memilih bidang agama sebagai subjek kerjaya saya,andai saudara mengukur bidang-bidang pelajaran sebagai ukuran karier dan kerjaya. Realitinya,dunia kerjaya kini memang tercari-cari mereka yang mengengam ijazah agama ini, lagi-lagi yang pulang dari seberang laut membawa bahasa Arab. Peluang bidang saya dalam karier masih luas dan sejajar(ikut kiraan saya), dengan bidang-bidang akademik yang lain.Bahkan dalam situasi hadapan, kemungkinan, dunia islam dalam kebanyakan bidang terutamanya Perbankan Islam,mungkin menjadi pilihan utama bagi syarikat-syarikat terkemuka.

Ini saya kira sudah cukup berbaloi untuk jalan yang saya pilih,andai sahaja saudara ukur jalan ini dengan keunggulan kerjaya dan kepentingan status.

Kedudukan kewangan yang kukuh dengan kerjaya yang ada,Public Opinion yang dihormati dengan status Syeikh Agama yang memang dipandang tinggi oleh kebanyakan masyrakat melayu.Pemahaman yang benar tentang islam dengan ilmu yang sarat dengan hikmah asal(bahasa arab).

Untung bukan, andai juga saudara ukur jalan saya dengan agama dan dakwah?

Namun,bukan setakat itu yang saya kejar.


Di hadapan saya,jauh kehadapan dari saya,


Usamah ibn Zaid,Pembuka Kota Rom.

Mus’ab in Umair,Pembuka Kota Yathrib.

Muhammad Al-Fateh,Pembuka Kota Konstatinopel.


Saya sebutkan tiga sahaja pemuda di kalangan jutaan pemuda lagi yang sudah jauh meninggalkan saya.

Mereka semua Dewasa sebelum Masanya.

Merekalah yang saya cuba kejar,walau sering jatuh,dan jatuh.

Dan,saudara,

Inilah ukuran saya pada bidang saya,walau saya sendiri terasa seperti sedang berkhayal.Namun,siapalah Umar Al-Khattab andai beliau tidak bergerak ke rumah Arqam ibn Al-Arqam?

Saudara pula?


"jiwa-jiwa umat yang dalam keperitan memerlukan cita-cita yang besar pada orang seperti kita, adakah masih sempat untuk kita 'bercouple', rokok dan perkara-perkara mubahat yang lain...? "


Ya Allah ! berikan hidayahmu kepada kami...

ibnmisr91

Kaherah,Mesir


Friday, October 29, 2010

Diri Kita Yang Mesti Diubah

Bismillah...

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” (Ar-Ra’d: 11)



Ketikamana Allah (swt) menurunkan al-Quran kepada Rasulullah (saw), lalu baginda membacakannya kepada kaum Arab pada waktu itu, al-Quran memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap jiwa mereka dan menguasai sepenuh hati mereka, dengan itu Allah mengubah diri mereka menjadi peribadi-peribadi yang sangat berbeza keadaan mereka selepas memeluk Islam jika dibandingkan dengan keadaan mereka semasa jahiliyah.


Sebagaimana al-Quran memberi kesan kepada hati orang-ornag mukmin, demikian jugalah ia memberi kesan kepada hati para musyrikin. Akan tetapi kesan al-Quran pada jiwa orang musyrikin adalah kesan yang sementara dan bersifat negatif. Kesan yang menyebabkan mereka menjauhkan diri mereka daripadanya sambil berkata sesama mereka:

“Janganlah kamu mendengar (bacaan) al-Quran ini dan rekalah kata-kata bathil serta palsu sekitarnya, moga-moga kamu dapat mengalahkan (mereka),” (Fussilat: 26).

Adapun bagi orang-orang beriman, " (iaitu) Mereka yang mendengar perkataan lalu mengikut yang terbaik di antaranya. Merekalah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan merekalah orang-orang yang berakal, ” (Azzumar: 18). Justeru, kesan Al-Quran terhadap mereka adalah kesan yang positif pada setiap masa, ia mengubah diri mereka daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain, serta mendorong diri mereka untuk berhias dengan akhlak-akhlak yang mulia lagi terpuji.

“Allah telah menurunkan sebaik-baik kalam iaitu al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit-kulit orang-orang yang takutkan Tuhan mereka kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan Kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki,” (Azzumar: 23).

Sahabat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama merenung kembali hubungan kita dengan al-Quran yang mulia. Adakah terkesan jiwa kita bilamana mendengar ayat-ayatnya yang suci? Sejauh manakah ia mampu membentuk akhlak dan peribadi kita? Dan adakah ia terkesan di dalam hati kita sepertimana terkesannya hati-hati para salaf dengannya?

Tidak wahai saudara-saudaraku! Sungguh, kita hanya semata-mata membaca al-Quran, hanya mengulang-ulang kalimat-kalimatnya dan melagu-lagukan bacaannya, namun limpahan al-Quran dan penghayatannya tidak pula menjadi kepentingan bagi kita sebagaimana para salafussoleh terdahulu yang begitu terkesan dengan al-Quran apabila mendengar ayat-ayatnya dibacakan.

Justeru, marilah kita mengikuti jejak langkah para salafussoleh. Apa yang kita sama-sama inginkan adalah supaya umat al-Quran dan negara Al-Quran kembali tertegak menyinari alam yang sedang berada di dalam kegelapan .

Realitinya, sesungguhnya kita pada hari ini begitu jauh dengan penghayatan al-Quran yang sebenarnya. Bahkan kita pada hari ini begitu mengutamakan dunia dan mencintainya dengan sepenuh hati kita. Tidakkah kita pernah memerhatikan firman Allah (swt) maksudnya:

“Katakanlah, sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah, rasulnya, dan jihad di jalannya maka tunggulah sehingga Allah memberikan keputusannya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik” (at-Taubah: 24).

Sahabat yang dikasihi,

Kita seringkali melihat kepada sebab-sebab dan menganggapnya punca segala sesuatu sehingga kadang-kadang kita terlupa untuk mengambil kira adanya di sana kehendak Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa, serta pertolongannya bagi wali-walinya tanpa disangka-sangka. Allah berfirman yang bermaksud,

“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan jadikan jalan keluar baginya dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan mencukupkan (keperluannya),” ( Attolaq: 2&3).

Justeru, mari kita sama-sama mengubah jiwa kita berpandukan wahyu tuhan ini, lalu kita akan menjadi lebih yakin dengan apa yang berada di tangan Allah daripada apa yang berada di tangan kita sendiri.

Sebahagian daripada kita sangat mudah untuk marah hanya disebabkan perkara yang kecil dan remeh, lalu kita memutuskan hubungan, saling bermasam muka dan sebagainya samada disebabkan oleh perkara yang munasabah ataupun tidak, sedangkan Allah (swt) berfirman yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (swt) dan janganlah kamu berpecah belah,” (Ali Imran : 103).

Demikian juga firmanNya dalam ayat yang lain yang bermaksud:

“Hanyasanya orang-orang yang beriman itu bersaudara,” (al-Hujurat:10).

FirmanNya lagi yang bermaksud:

“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lain,” (at-Taubah: 71).

Justeru, adakah kita terkesan dengan firman-firman Allah ini? Lalu kita melupakan kebencian dan kedengkian di antara kita serta cuba untuk menyucikan hati dan perasaan sehingga kita mampu bersatu di atas kalimah Allah dan menjadi saudara kerana Allah semata-mata?

Allah (swt) berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitulah) mereka yang kusyuk dalam solatnya, meninggalkan perkara-perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kemaluan, kecuali kepada isteri-isteri atau hamba-hamba mereka maka mereka tidaklah tercela,” ( al-Mukminun: 1-11).

Di manakah kita daripada sifat-sifat mulia tersebut? Khusyuk dan menjaga solat, meninggalkan perkara yang sia-sia dalam perkataan dan perbuatan, kerana setiap perkara samada yang kecil ataupun besar dicatat oleh Allah. Begitu juga dengan mengeluarkan zakat fitrah, zakat harta sebagai melaksanakan tanggungjawab, menyucikan harta, mengelakkan fitnah, dan berbakti kepada orang-orang fakir dan miskin. Serta menjaga kemaluan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah dan menjaga apa yang berkaitan dengannya samada mata, telinga, mulut, hidung, tangan dan kaki.

Di manakah kita sekarang daripada sifat-sifat yang digambarkan dalam al-Quran perihal mukminin yang sejati dan para salafussoleh lalu mereka menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umat manusia?

Inilah sebahagian contoh ajaran-ajaran al-Quran yang telah membentuk akhlak mereka sehingga menjadi sinaran cahaya bagi manusia seluruhnya, dan yang telah memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar. Justeru adakah kita berazam untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik? Dengan itu akan berubahlah kehidupan kita…Insyaallah.

Ya Allah, perkenankanlah harapan dan permintaan kami, Amiin!!

Thursday, October 21, 2010

Maruah Yang Dijaja

Bismillah...











Maruah adalah satu unsur yang amat bernilai. Bagi sesetengah mausia, nilaian maruah tiada tolok bandingnya. ‘Dijaja’ pula amat sinonim dengan menjual, melariskan, atau lebih mudah, berniaga. Maruah merupakan sesuatu unsur yang perlu dipertahankan sedangkan ‘Dijaja’ pula bermatlamat keuntungan dan pasaran yang terbuka bak kata orang ekonomi. ‘Maruah’ dan ‘Dijaja’ amat berbeza baik dari aspek definisi mahupun penghayatan. Namun, apabila ada pihak yang cuba mencampur-adukkan kedua-duanya atau menghalalkan persenyawaan antara kedua-dua terma ini, atas nama hak-hak peribadi, kebebasan individu, atau profesionalisma berkerjaya, buruk padahnya.

Melihat sejenak kepada perkembangan industri lakon layar, seni tari, seni suara, seni visual, dan perfileman negara, segalanya berlaku dengan amat rancak. Semakin hari, makin ramai bintang atau permata muda dalam industri ini yang dilahirkan. Saluran atau platfom kemunculan mereka, tidak terkira banyaknya. Mereka penuh dengan pembaharuan dan nilai-nilai kontemporari. Yang bergelar ‘orang lama’ atau vateran seni pula, yang sarat dengan pengalaman tentu sukar digugat. Senario ini mewujudkan persaingan karier dan kerjaya yang amat sengit. Mereka perlu bersaing bagi membintangi filem-filem terkini, mendapat peluang membuat rakaman album terbaru dan sebagainya. Suasana ini bukan sahaja tentang survival mereka dalam industri seni, namun juga barkaitan periuk nasi mereka.

Lumrah manusia, dalam sengitnya survival, hanya yang terbaik atau berfikiran sedikit terkehadapan akan selamat. Tuntutan karier memerlukan mereka lebih berani didepan lensa kamera bagi memastikan nama selaku pelakon laris dan menggunung tawaran menjelma pula. Meskipun pada dasarnya, dia si pelakon itu adalah seorang muslim atau muslimah, namun atas desakan arus, dia tewas. Tiada masalah baginya berpakaian seperti pelakon Holiwood, asalkan dia jadi pelakon utama. Adakah ini yang sewajarnya?

Ini baru satu aspek yang dapat disentuh pada coretan kali ini. Jika hendak kita bicarakan semua, tidak tertulis jadinya. Bukan tujuan artikel ini untuk menghentam industri seni negara. Seni itu tiada salahnya. Berlakon itu tiada silapnya. Menyanyi itu tidak semestinya membawa lalai dan leka. Semua ini adalah sebahagian dari Islam. Apa yang penting adalah kita melihat aspek holistiknya dan menyeluruhnya Islam ini. Jangan kerana hendak dapat nama, maruah selaku seorang muslim digadai dengan semurahnya.

Maruah tak ternilai

Salam Takzim

Thursday, September 9, 2010

Aidil Fitri Bagi Seorang Pejuang

Bismillah...

Sekali lagi Aidil Fitri datang membawa saat gembira dan suka bagi umat Islam. Datangnya sebagai lambang kejayaan bagi umat Islam kerana berjaya mengharungi sebulan Ramadhan dengan berlapar dahaga di siang hari dan beribadah sebanyak mungkin pada malamnya. Sabda Rasulullah saw: rugilah bagi sesiapa yang telah merugikan (Ramadhan), dan untunglah bagi sesiapa yang berjaya (memanfaatkan Ramadhan). Ibadah berpuasa juga secara tidak langsung membawa mesej kepada dunia; umat Islam akhir zaman masih lagi berpegang teguh dengan perintah Allah swt dengan kemampuan mereka melaksanakannya dalam suasana Islam ditindas di seluruh pelusuk alam. Masih wujud kelompok (thoifah) yang memenangkan kebenaran dan mereka akan selamanya muncul sehingga hari Kiamat. Sinar Islam pasti kembali suatu hari nanti.

Hadis “Akan senantiasa ada di antara umatku suatu kelompok yang tampil membela kebenaran, tidak membahayakan mereka orang yang menghina (tidak menolong) mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka tetap dalam keadaan demikian.” (HR. Muslim)

Hari raya juga merupakan hari umat Islam mempamerkan kekuatan persaudaraan Islam yang terjalin erat dengan simpulan aqidah. Ibadah solat sunat Aidil Fitri disunatkan untuk didirikan di tanah lapang supaya semangat kebersamaan itu lebih dirasai.Umpama satu perarakan ketenteraan yang perkasa dan tersusun. Laungan takbir beramai-ramai dengan suara yang nyaring merupakan simbolik seolah-olah kita sedang meraikan kemenangan yang agung dan suci. Marilah kita hayati erti takbir dan maani yang terkandung di dalamnya. Kita membenarkan dengan iman yang mendalam bahawa Allah Maha Besar. Allah adalah matlamat akhir setiap Muslim. Kita juga menyaksikan risalah Tauhid adalah misi besar setiap Muslim dalam kehidupannya. Kita mahu menuju ‘ubudiyyah total kepada Allah swt dalam segenap aspek meliputi ‘aqidah, ibadah, akhlak dan agenda perjuangan. Keikhlasan dan tajarrud sebagai dua syarat utama yang seharusnya kita semua penuhi jika mendaulatkan Islam sebagai tunjang perjuangan.

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (An-Nahl:36)

Kita yakin dan mengimani Allah swt akan membenarkan janjinya kepada para hambaNya yang soleh dan beriman serta berjuang. Sejarah perang Ahzab akan berulang semula. Tentera muslimin yang diketuai oleh Rasulullah saw menghadapi gabungan raksasa tentera dunia; hampir-hampir mustahil untuk menang. Namun, akhirnya kemenangan daripada Allah swt datang selepas para muslimin bersatu di atas dasar aqidah dan diperkukuhkan dengan benteng ukhuwah Islamiah. Mereka memahami wala’ hanya untuk Allah, Rasulnya dan semua muslimin. Tiada tentera atas muka bumi yang mampu mengalahkan pasukan pejuang yang menjadikan Rasulullah sebagai Ketua dan Qudwah.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-ahzab:21)

Semua maani-maani yang hebat ini diulang-ulang oleh semua umat Islam mulai malam Raya hingga saat Imam mengetuai solat sunat Aidil Fitri. Persoalan yang perlu kita fikirkan; adakah kita menghayatinya dan beramal di atas laungan takbir tersebut? Sesungguhnya lafaz tersebut menggerunkan hati musuh Islam dan menggegarkan setiap satu kuasa taghut yang masih berdiri di atas bumi Allah.

Kenapa kandungan takbir raya seperti ini? Jawapannya, ingin mengingatkan semua umat Islam bahawa kejayaan berjihad melawan hawa nafsu hanya sebagai salah satu tangga-tangga dalam kamus Jihad yang luas.Ia sebagai pemula yang seharusnya dikekalkan dan disusuli dengan jihad-jihad yang lain. Ini juga memberikan satu kefahaman yang jelas bahawa kemenangan hakiki adalah pada harinya kita meraikan detik Islam menguasai dan memegang tampuk pemerintahan dunia. Itulah Hari Raya yang kita tunggu saat kedatangannya dengan amal dan usaha yang berterusan dan kesabaran para ulul ‘azmi dari kalangan rasul-rasul.

Ini dia agenda kita bersama. Tapi; bagaimana semuanya bermula? Ia bermula dengan kita mengembalikan jati diri Islam yang semakin hilang dalam peribadi bangsa Melayu beragama Islam di tanah air kita. Jatidiri muslim sejati yang sejahtera aqidah dan kuat ibadah. Kita mahukan muslim yang bertubuh kuat dan mampu melawan hawa nafsunya. Juga seorang yang menjaga waktu, menyusun urusan kehidupan harian dengan sistematik. Kita juga mahu membina kehendak kendiri yang kuat serta mampu berdikari dan mereka akan memberi manfaat kepada bangsa, negara dan Islam. Ayuh; sahanat - sahabat kita menyediakan persiapan yang lengkap untuk berkhidmat khususnya untuk umat di Malaysia. Utamakan agenda bangsa dan agama daripada agenda peribadi nafsu yang inginkan kuasa semata-mata.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin

Melayu Sepakat, Islam Berdaulat

Monday, July 19, 2010

Mendamba Pilihan Yang Soleh

Lama saya memerhati dan cuba memahami penulisan seseorang di blog nya. Tentang hasratnya mendapatkan seorang yang soleh sebagai peneman hidup. Katanya, dia inginkan yang soleh kerana dirinya serba kekurangan. Kurang dari segi ilmu agamya, kurang dari segi akhlaknya, kurang dari segi ibadahnya. Pendek kata kurang dari segala hal yang dimiliki oleh seseorang untuk bergelar muslimah apatah lagi bergelar solehah. Jadi, tindakannya untuk mendapatkan yang soleh ibarat penyelamat keadaan tanpa perlu bersusah payah menjadi solehah. Andai dapat yang soleh, peluang untuknya menjadi solehah akan datang setelah itu. Katanya, seseorang yang soleh mampu membimbingnya ke jalan yang lebih dirahmati. Lebih diberkati. Seseorang yang dapat kuatkan semangatnya untuk terus beribadah dan terus menjadi dorongan untuk dia menjadi solehah. Itu katanya.

Pertama kali membaca luahan hatinya, terasa sejuk menjalar di ruang hati saya. Manakan tidak, bila seseorang mendamba seorang yang soleh, dia sebenarnya telah melihat matlamat hidupnya dengan jelas. Mendamba seseorang yang soleh ibarat berusaha menjejaki jalan yang lurus menuju Allah dan menuju kepada pengakhiran yang baik. Alhamdulillah.

Saya nak yang soleh.

Ya, secara peribadi dan pertama kali saya akui secara terbuka, saya pun mendamba seorang yang soleh. Lumrah keinginan seorang wanita. Tanyalah sesiapa pun wanita muslimah, pasti kriteria pertama yang diimpikan adalah seseorang yang dapat membimbingnya ke jalan Allah sebagai pendorong dia melakukan kebaikan atau dengan bahasa mudahnya seorang yang soleh. Seseorang yang dapat mengetuai sebuah ikatan dengan pegangan yang terarah kepada Ilahi. Dari sudut lain pula, soleh juga didamba oleh bakal-bakal ibu yang sedang mengandungkan zuriatnya, pasti menginginkan lahir anaknya itu sebagai seorang yang soleh. Atau tanya kepada makcik-makcik yang sedang mencari calon menantu, pasti juga berkeinginan mencari menantu yang soleh. Yang menjamin kebahagiaan anak perempuannya. Lumrah keinginan. Sehingga soleh itu dilihat sebagai kriteria utama dalam senarai pilihan hati.

Berbalik kepada kisah asal tentang pilihan hati seorang muslimah. Kenyataan ukht itu buatkan saya termenung sebentar. Dari suatu sudut saya bersetuju dengan keinginannya tentang pilihan hati yang diimpikannya iaitu seorang yang soleh, namun dari sudut yang lain saya berbeza pendapat dengan kenyataannya yang mengatakan bahawa seseorang yang soleh sebagai penyelamat diri dan peluangnya menjadi yang solehah akan datang setelah itu. Kenyataan ini buatkan saya tercari-cari di mana kekuatan dirinya sebagai seorang musimah. Adakah seratus peratus bergantung harap kepada pilihan yang soleh? Kenapa perlu menjadi seorang yang solehah setelah mendapat yang soleh?

Hmm…

Ibarat Ferrari..

Kalau diizinkan, boleh saya andaikan situasi ini ibarat kita mendamba sebuah kereta yang canggih, yang pasti terjamin kehebatannya beraksi di jalan. Kepantasannya bergerak mengalahkan kereta di litar Formula One. Rupanya hebat dan cantik, ibarat Ferrari..sesiapa yang melihat pasti teruja. Sehinggalah satu hari, dengan izin Allah kita berjaya memiliki kereta itu. Bermulalah episod kehidupan kita dengan kereta yang kita impikan. Pandulah kita menuju ke suatu destinasi yang jelas hendak dituju. Semangat yang luar biasa mula terbit apabila memandu kereta yang hebat sehingga terdetik di hati, perjalanan yang bakal di lalui pasti lancar dek kerana hebatnya kereta yang dinaiki. Namun, tanpa di duga, kita tersekat di perjalanan kerana kurang cekap dalam memandu. Tidak sehebat pemandu ternama seperti Michael Schumacher dalam memandu Ferrari. Setelah diteliti, bukan hanya masalah ilmu pemanduan yang kurang, malah jalan yang kita lalui juga tidak tahu ke mana arahnya. Cuma hanya jelas destinasinya sahaja tapi bukan jalannya. Lihatlah, walau sehebat manapun pilihan hati kita itu, namun, sekiranya diri kita sendiri yang tidak tahu dan tidak mahu berusaha menjadi yang terbaik sebagai seorang yang mengenderai kenderaan yang hebat, pasti pengembaraan kita menuju ke suatu destinasi kita tersekat-sekat di jalanan. Adakah silap kenderaan itu atau diri sendiri sebagai orang yang tidak tahu selok belok dalam memandu?

Merenung ke dalam diri…

Begitulah ibarat kita sebagai seorang muslimah yang inginkan pilihan yang soleh. Datangkan lah seseorang yang soleh setakat mana sekalipun, andai diri sendiri tidak diberi peluang melengkapkan diri dan berusaha menjadi solehah, pasti kita akan kecundang dalam menuju ke arah matlamat sebenar walaupun kita tahu ke mana kita hendak tuju. Kerana ukuran soleh dan solehah itu hanya terbit dari diri dan impian kita menjadi solehah setelah mendapat yang soleh ibarat kita mendamba sesuatu yang tidak pasti. Mana mungkin orang lain mampu menjadikan kita solehah melainkan dengan keizinan Allah setelah melihat usaha kita yang bersungguh-sungguh berusaha ke arah yang lebih baik. Bukankah benar firman Allah:

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”~an-Nuur;26

Persoalan yang timbul..Bagaimana pula dengan perempuan yang kurang baik..adakah peluang dia mendapat yang soleh?

Ada. Tetapi dengan syarat dia sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik. Tugas seorang hamba ke atas dirinya hanya membaiki dirinya sendiri tanpa terlalu memikirkan pengakhiran samada mendapat yang soleh ataupun sebaliknya. Kerana Allah tidak akan menzalimi orang yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan. Allah yang menciptakan, mana mungkin dia memusnahkan melainkan kita sendiri yang menuju ke arah kebinasaan dan hakikatnya kita tidaklah perlu menjadi sehebat Schumacher dalam memandu Ferrari tapi berusahalah untuk belajar selok belok pemanduan serta tahu arah mana yang kita tujui.

‘jadilah..’ bukan ‘carilah…’

Oleh itu, sebelum kita mencari yang soleh, jadilah diri kita dahulu sebagai seorang yang solehah. Ya..bukan senang menjadi solehah dan bukan sehari dua usahanya, sudah ingin melihat hasil. Tidak. Malah mungkin memakan masa bertahun-tahun. Proses mendidik hati bukan mudah seperti menenun kain yang indah, tapi perlukan kesabaran dan mujahadah. Perlengkapkan diri dengan segala amalan mahmudah, agar diri kita terarah. Namun, ada lagi persoalan timbul, bagaimana pula kalau kita tidak sempat menjadi solehah, tiba-tiba muncul seorang yang soleh datang melamar, adakah harus kita menolak sedangkan diri belum lagi mencapai title solehah?

Jawapan saya, ya terimalah. Tapi teruskan usaha menjadi isteri yang solehah. Jangan berharap pada yang lain dalam usaha kita menjadi muslimah solehah, tapi bergantunglah pada diri dan berharaplah pada Ilahi dan bukannya pada manusia yang pada dasarnya dia sendiri belum pasti di mana destinasi pengakhirannya walaupun dia seorang yang soleh. Jangan mendamba yang soleh kalau kita sendiri tidak berusaha ke arah menjadikan diri sebagai seorang yang solehah. Seseorang yang soleh yang kita impikan ini bukanlah matlamat utama kita, tapi sebagai alat menuju akhirat yang berkat. Semoga dengannya kita terus bersemangat mencari kebaikan sebagai bekal di sana. InsyaAllah.

Saya pun nak yang soleh…jom sama-sama berusaha menjadi solehah…


Hamba Ilahi...